TAWAU, 23 Jan: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas dipercayai memiliki peralatan menyerupai kelengkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dadah jenis syabu dalam satu operasi rondaan di kawasan Fajar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan anggota Balai Polis Tawau menjalankan rondaan bit di hadapan sebuah bank sebelum mengesan sebuah kenderaan dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan sehelai vest pantylilan berwarna hijau tertera perkataan ‘PDRM’ serta sebuah topi bercorak loreng.
“Polis turut menemui sebuah beg pinggang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 0.10 gram,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang merupakan warganegara Malaysia berusia antara 32 hingga 43 tahun itu ditahan bagi tujuan pencegahan jenayah.
Kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 89 Akta Polis 1967.
TAMAT
