SABAH – JAMBATAN PENTING PERKUKUH KERJASAMA MALAYSIA-CHINA

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU,23 SEPT – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata  Sabah berada pada kedudukan yang strategik untuk menjadi jambatan penting dalam  memperkukuh lagi kerjasama Malaysia–China. 

Beliau berkata hubungan Sabah dengan China merupakan bahagian penting dalam  kerjasama Malaysia–China yang lebih luas dan walaupun hubungan diplomatik rasmi  secara relatifnya masih baharu, hubungan antara Sabah dan China sebenarnya telah  terjalin sejak jauh lebih lama dalam sejarah. 

“Sejak berabad-abad lalu, laluan perdagangan maritim telah menghubungkan komuniti  pesisir Borneo dengan selatan China serta kawasan lain di Asia Tenggara. 

“Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna sehingga hari ini,” katanya pada  Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di  Magellan Sutera Resort di sini tadi.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri  Panglima Dr Joachim Gunsalam. 

Beliau berkata Sabah menawarkan platform kukuh bagi penglibatan antara perusahaan,  institusi dan masyarakat China berikutan kedudukan geografinya yang strategik, potensi  ekonomi, kekayaan sumber semula jadi serta hubungan rakyat dengan rakyat yang  telah lama terjalin. 

“Perdagangan dan pelaburan kekal menjadi tonggak utama hubungan Sabah–China.  China merupakan antara rakan dagang terpenting Sabah dengan kerjasama  merangkumi komoditi, pertanian, perikanan, produk pembuatan, pelancongan dan  perkhidmatan. 

“Syarikat-syarikat China yang beroperasi di Sabah telah menyumbang kepada  pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur  serta hubungan perniagaan yang lebih kukuh,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata Sabah menawarkan peluang pelaburan yang besar  kepada pelabur China dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian,  perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru.

Beliau berkata, antara lain terdapat juga peluang luas untuk Sabah dan China berkongsi  kepakaran dalam bidang pertanian, pemuliharaan marin, tenaga bersih, pertanian  pintar, dan akuakultur. 

“Dengan menyelaraskan kekuatan ekonomi Sabah dengan kepakaran, keupayaan  pelaburan dan kemampuan teknologi China, kita boleh mewujudkan hasil yang  bermakna serta memberi manfaat bersama,” katanya. 

Satu lagi bidang kerjasama penting ialah pelancongan yang diyakini Sabah boleh terus  dipertingkatkan melalui kesalinghubungan udara yang lebih kukuh, perluasan  pemasaran digital serta pembangunan produk ekopelancongan, pelancongan budaya  dan pelancongan pengembaraan, katanya. 

Ketua Menteri berkata selain kerjasama ekonomi, pendidikan, budaya dan pertukaran  rakyat dengan rakyat terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama melalui  perkongsian antara universiti, pertukaran pelajar, program bahasa, kerjasama  penyelidikan, biasiswa, persembahan kebudayaan, aktiviti belia serta kerjasama dalam  bidang sains dan teknologi. 

“Pertukaran ini amat penting kerana ia memperdalam persefahaman bersama dan  memupuk persahabatan dalam kalangan generasi akan datang. 

“Ia mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar hubungan dua hala bukan sahaja  terletak pada perdagangan dan pelaburan, tetapi juga pada hubungan antara rakyat  kedua-dua negara,” katanya. 

Melangkah ke hadapan, Hajiji berkata Sabah kekal komited untuk menyokong hubungan  kukuh dan konstruktif antara Malaysia dengan China, sambil meneruskan keutamaan  negeri di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0. 

“Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama  Malaysia–China,” katanya. 

Share This Article