‘KAMI SUDAH KAHWIN KAMPUNG’, SEPASANG KEKASIH DICEKUP KHALWAT

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU,23 SEPT – Alasan sudah ‘berkahwin kampung’ tidak dapat menyelamatkan sepasang kekasih apabila mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah hotel di daerah ini, malam Isnin lalu.

Dalam operasi Ops Cegah Jenayah Syariah, sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menjalankan pemeriksaan di beberapa hotel penginapan sekitar Bandar Sri Perdana dan Pekan Lahad Datu.

Hasil pemeriksaan, sepasang lelaki dan wanita masing-masing berusia 28 dan 19 tahun ditahan ketika berada berdua-duaan di dalam sebuah bilik hotel.

Ketika pemeriksaan, pasangan berkenaan mendakwa mereka telah ‘berkahwin kampung namun hasil semakan lanjut mendapati dakwaan itu tidak benar dan mereka tidak pernah melangsungkan perkahwinan.

Kedua-duanya kemudian ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 84, iaitu kesalahan khalwat,di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 (Sabah).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Operasi berkenaan diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Ustaz Rahim Yahya Abd. Rahman bersama 20 pegawai penguat kuasa JHEAINS Sabah.

Share This Article