KOTA KINABALU, 19 Mac — Institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah wajar terus dipelihara sebagai simbol kestabilan dan perpaduan negeri, serta tidak dipolitikkan dalam mana-mana polemik kepartian.
Pemerhati politik, Haji M. Ridzal berkata, dalam landskap pentadbiran Sabah, kedudukan TYT bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya menjadi teras penting kepada kestabilan institusi negeri. Menurutnya, sebagai ketua negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, TYT menjalankan fungsi berlandaskan Perlembagaan Negeri dengan nasihat Ketua Menteri dan Kabinet.
“Institusi ini berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat tanpa mengira fahaman. Oleh itu, ia menuntut penghormatan tinggi serta perlu kekal berada pada jarak yang jelas daripada pertikaian politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa sebarang cubaan mengheret institusi TYT ke dalam polemik politik atau isu teknikal pentadbiran adalah tidak matang dan bercanggah dengan prinsip demokrasi berperlembagaan. Katanya, dalam sistem tersebut, institusi ketua negeri perlu kekal neutral dan tidak dijadikan medan pertembungan naratif politik.
“Peranan menyelesaikan konflik, mempertahankan dasar atau menjawab isu teknikal adalah tanggungjawab kerajaan semasa, bukan untuk dipindahkan kepada institusi TYT yang sepatutnya berdiri di atas semua pihak,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan ulang tahun kelahiran rasmi TYT Sabah merupakan sebahagian daripada protokol negeri yang telah lama diamalkan dalam sistem pentadbiran. Katanya, sambutan itu bukan sekadar acara perayaan, tetapi manifestasi penghormatan kepada institusi negeri.
“Setiap tahun, sambutan ini diisi dengan pelbagai acara rasmi termasuk pengurniaan darjah kebesaran, majlis bersama rakyat serta program kebajikan yang melibatkan golongan memerlukan. Ini memperlihatkan fungsi institusi TYT sebagai simbol perpaduan dan kesejahteraan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai sosok Musa Aman yang kini memegang jawatan TYT Sabah, yang disifatkan mempunyai rekod kepimpinan panjang dan signifikan.
Katanya, sepanjang 15 tahun sebagai Ketua Menteri Sabah, Musa Aman telah mencorakkan hala tuju negeri dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pembangunan dan pentadbiran.
“Tempoh tersebut mencerminkan kestabilan politik yang pernah dinikmati Sabah di bawah kepimpinan beliau, satu perkara yang sukar dipertikaikan dalam analisis politik negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, era pentadbiran Musa Aman sering dikaitkan dengan pengukuhan kedudukan kewangan negeri, peningkatan rizab serta pembangunan infrastruktur yang lebih tersusun. Sabah juga, katanya, mula dikenali sebagai destinasi pelaburan dan ekopelancongan yang kompetitif.
Dalam perkembangan berkaitan, pembinaan Pusat Islam Sandakan dilihat sebagai kesinambungan sumbangan beliau kepada pembangunan negeri, khususnya dalam aspek keagamaan dan sosial.
“Projek ini bukan sahaja melambangkan komitmen terhadap pembangunan institusi Islam, tetapi juga menjadi simbol warisan kepimpinan yang berterusan walaupun dalam kapasiti berbeza sebagai TYT,” katanya.
Selain itu, penglibatan aktif beliau dalam program kebajikan seperti membantu anak yatim, menyokong institusi agama dan menyantuni golongan memerlukan turut menyerlahkan dimensi kemanusiaan institusi TYT.
Menurut Haji M. Ridzal, keseimbangan antara peranan rasmi dan tanggungjawab moral itu penting untuk memastikan institusi TYT terus relevan dan dihormati rakyat.
“Institusi TYT perlu kekal sebagai lambang perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan negeri, serta tidak diperalatkan dalam percaturan politik sempit,” katanya.
TAMAT
