KKIS BUKA LALUAN BAHARU LEPASAN TAHFIZ CEBURI BIDANG KEMAHIRAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA MARUDU, 22 SEPT – Lepasan tahfiz dan institusi pondok di Sabah kini mempunyai laluan baharu untuk mengembangkan potensi diri menerusi pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional melalui penubuhan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penubuhan KKIS di Pusat Latihan Dakwah USIA-AlBukhary, Kampung Marasinsim, tepat pada masanya bagi memenuhi keperluan pendidikan dan kerjaya generasi muda Islam di negeri ini.

Menurutnya, pelajar tahfiz yang sudah mempunyai asas agama, hafazan dan nilai akhlak yang baik perlu turut dibekalkan kemahiran teknikal supaya mempunyai peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih luas.

Katanya, pendekatan menggabungkan ilmu Islam dengan kemahiran teknikal dan vokasional dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja kukuh dari segi agama, malah mempunyai kemahiran yang diperlukan industri dan pasaran pekerjaan.

“Kita mahu anak-anak Sabah, termasuk lepasan pondok dan tahfiz, mempunyai laluan pendidikan dan kemahiran yang jelas serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi khususnya dalam menghadapi cabaran masa depan seperti Kecerdasan Buatan atau AI,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif, pada Majlis Perasmian KKIS di Pusat Latihan Dakwah USIA-AlBukhary di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji mahu kerjasama strategik antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) terus diperkukuh bagi memastikan KKIS berkembang sebagai institusi kemahiran Islam yang berkualiti dan berdaya saing.

Beliau berkata perkongsian kepakaran, teknologi, pengalaman serta jaringan pendidikan daripada IKDAR akan memberi nilai tambah kepada pembangunan KKIS selain membantu memperkasa kemahiran golongan muda Islam.

Hajiji turut berharap KKIS memperluaskan program kemahiran, memperkukuh kerjasama dengan industri serta meningkatkan penguasaan AI dan teknologi digital bagi melahirkan graduan yang bersedia menghadapi keperluan masa depan.

“Kerajaan negeri akan menyokong USIA dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi melaksanakan usaha yang baik untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berharap KKIS terus menjadi pusat pendidikan, pembangunan modal insan dan pemerkasaan ummah di Sabah.

Share This Article