KUNAK, 8 SEPT – Kerajaan Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih yang menjadi hak Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat berkaitan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Jumaat ini dengan Sabah menjadi tuan rumah.
Katanya, mesyuarat itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan serta isu-isu di bawah MA63 yang masih belum diselesaikan.
“Dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Sabah menghargai komitmen Perdana Menteri apabila sembilan perkara di bawah MA63 berjaya diselesaikan sepanjang pentadbiran beliau selain beberapa kuasa berkaitan turut diturunkan kepada Sabah.
Menurutnya, empat perkara terdahulu menjadikan keseluruhan 13 perkara telah diselesaikan namun masih terdapat beberapa isu lain yang memerlukan perhatian, termasuk tuntutan bayaran 40 peratus.
“Bagaimanapun masih ada perkara-perkara lain termasuk pembayaran 40 peratus,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan pada dasarnya telah bersetuju dengan tuntutan bayaran 40 peratus berkenaan namun beberapa isu teknikal masih perlu diselesaikan.
“Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah mungkin teknikal yang dibawa. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu,” katanya.
Hajiji berkata, perkara yang masih belum selesai akan dibawa semula untuk pertimbangan dalam mesyuarat atau rundingan MA63 seterusnya.
