MAJLIS ILMU BERMANFAAT PERLU DIPERGIAT DEKATKAN UMAT DENGAN RASULULLAH

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 15 SEPT – Penganjuran majlis ilmu yang bermanfaat perlu dipergiatkan sebagai platform memperkukuh kefahaman agama dan mendekatkan masyarakat kepada Rasulullah SAW.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa berkata program berbentuk keagamaan wajar diteruskan dan diperbanyakkan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Ceramah Perdana bersama Ustaz Dr Haji Das’ad Latiff bertemakan “Membina Ummah dengan Sunnah Rasulullah SAW” di PPR Sungai Manila, Batu 12, malam tadi.

Ceramah Perdana berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 8,000 orang menghadiri program berkenaan.

“Kita berharap ustaz akan datang lagi dan majlis seumpama ini diadakan pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Hazem berkata penganjuran program tersebut menjadi salah satu ruang untuk masyarakat menimba ilmu serta meningkatkan kefahaman berkaitan ajaran Islam.

“Ilmu yang diperoleh itu amat bermanfaat dan ia bukan sahaja membolehkan kita memahami tetapi mendekatkan kita dengan Rasulullah,” katanya.

Sementara itu, Das’ad berkata beliau sebelum ini turut dijemput menyampaikan ceramah di Sook, Keningau yang turut mendapat sambutan daripada masyarakat bukan Islam.

“Di Sook, Keningau, yang menjemput saya ialah seorang non muslim. Saya panggil dia Michael Jordan. Dia non muslim, tetapi dia jemput saya dan hadir dalam jemaah itu 40 persen non muslim,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Hazem kerana menjemputnya menyampaikan Ceramah Perdana berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat memperoleh ilmu dan pengisian agama

Share This Article