KETUA MENTERI SABAH TERIMA KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN MENTERI KUSKOP, PERKUKUH KERJASAMA PEMBANGUNAN USAHAWAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,20 OGOS – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memacu pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor koperasi di negeri ini.

Komitmen tersebut ditegaskan dalam pertemuan Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu hari ini. Pertemuan ini tertumpu kepada usaha memperhebat ekosistem keusahawanan dan meluaskan peluang perniagaan buat usahawan tempatan.

Menurut Datuk Mohamad Alamin, perbincangan turut merangkumi inisiatif penyediaan ruang niaga untuk penjaja dan usahawan kecil di Sabah selain memantapkan jaringan kerjasama antara pihak persekutuan dan negeri.

“KUSKOP juga menjemput Ketua Menteri untuk merasmikan penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah, yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober 2026 di Kota Kinabalu,” ujarnya.

Majlis penutup karnival yang dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung itu akan disempurnakan oleh Datuk Seri Panglima Hajiji pada 25 Oktober nanti.

Kunjungan hormat ini turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal serta wakil daripada TEKUN Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Bank Rakyat.

Share This Article