TAWAU, 15 OGOS – Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Taman Kinabutan Ria, di sini, petang semalam.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 6.09 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bersama sebuah jentera CFRT digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira 10 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Zougarana Konin, berkata setibanya pasukan bomba pada jam 6.25 petang, pihaknya mendapati seorang lelaki tertiarap di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian meminta bantuan pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan berkenaan sebelum tindakan mengangkat mangsa dilakukan.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, selepas memastikan kawasan berkenaan tidak lagi mendatangkan sebarang bahaya, operasi ditamatkan pada jam 7.42 malam.
Dalam kejadian itu agensi lain yang turut berada di lokasi ialah KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
