PELIHARA KEAMANAN, TOLAK KEBENCIAN DAN KEKALKAN INGATAN SEJARAH – HAJIJI

sabahheadlines
4 Min Read

SANDAKAN, 15 OGOS – Keamanan perlu terus dipelihara dengan mempertahankan maruah manusia, menyelesaikan pertikaian tanpa keganasan serta tidak menutup mata terhadap penderitaan yang dialami orang lain.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata masyarakat juga perlu menolak kebencian, tindakan yang merendahkan nilai kemanusiaan dan sikap tidak peduli yang boleh membuka ruang kepada berulangnya tragedi kemanusiaan.

“Sejarah ini tidak seharusnya digunakan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya. Sebaliknya ia mesti mengajar setiap generasi tentang akibat yang boleh dibawa oleh kebencian.

“Kemenangan semata-mata tidak pernah mencukupi sekiranya kita melupakan harga kemanusiaan yang terpaksa dibayar,” katanya ketika berucap pada Upacara Peringatan Hari Sandakan di Taman Peringatan Sandakan, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata, antara 1942 hingga 1945 ketika kemuncak Perang Dunia Kedua, kira-kira 2,700 tawanan perang Australia dan British melalui Sandakan dalam peristiwa bersejarah yang dikenali sebagai Sandakan Death March menuju ke Ranau.

Menurutnya, menjelang Januari 1945 seramai 2,434 tawanan masih berada di Sandakan terdiri daripada 1,793 warga Australia dan 641 anggota tentera British.

“Daripada jumlah itu seramai 2,428 orang meninggal dunia dan hanya enam warga Australia terselamat, kesemuanya selepas berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, enam yang terselamat itu ialah Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham yang kisah perjuangan mereka menjadi simbol ketabahan dalam menghadapi penderitaan dan penindasan.

Katanya, kelangsungan hidup mereka bukan semata-mata hasil kecekalan diri malah turut dibantu penduduk tempatan yang sanggup mempertaruhkan keselamatan sendiri demi menyelamatkan nyawa manusia.

“Owen Campbell misalnya dibantu oleh dua penduduk tempatan yang dikenali sebagai Lap dan Galunting di Kampung Muanud.

“Terdapat juga individu lain yang namanya wajar dikenang seperti Bariga, Dihil bin Ambilid, Abing, Kulang dan ramai lagi yang keberanian mereka mungkin tidak akan dapat direkodkan sepenuhnya,” katanya.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk tempatan termasuk Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan yang mengumpul maklumat dan membantu para tawanan walaupun berdepan risiko amat besar.

Menurutnya, sebahagian daripada anggota gerakan bawah tanah itu akhirnya dihukum mati kerana keberanian mereka menentang kekejaman perang.

“Mereka bertindak tanpa perlindungan dan dengan mempertaruhkan keselamatan diri. Apabila melihat penderitaan, mereka memilih untuk membantu.

“Keberanian mereka adalah sebahagian daripada sejarah Sandakan dan Sabah, dan ia mesti terus dikenang,” katanya.

Beliau berkata, keberanian tidak semestinya hadir dalam bentuk perjuangan bersenjata sebaliknya boleh dizahirkan melalui tindakan kecil yang memberi harapan kepada mereka yang menderita.

“Kadangkala keberanian itu berupa sedikit makanan yang dikongsi secara rahsia. Kadangkala ia berupa tempat untuk berlindung. Kadangkala ia berupa sebuah perahu yang berpatah balik menuju kepada seseorang yang meminta pertolongan,” katanya.

Hajiji berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-81 berakhirnya Perang Dunia Kedua justeru tanggungjawab memelihara warisan sejarah tidak berakhir selepas upacara peringatan itu.

“Tanggungjawab kita berterusan selepas upacara ini. Kita mesti memelihara rekod sejarah, mendidik generasi muda mengenai apa yang berlaku di sini dan terus mengenang nama para tawanan serta penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, pengajaran daripada tragedi Sandakan Death March perlu terus dijadikan panduan dalam membina masyarakat yang menghargai keamanan, menolak kebencian dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan demi generasi akan datang.

Share This Article