REMAJA PEREMPUAN LEMAS DI PANTAI TANJUNG BADAK, SEORANG LAGI SELAMAT

sabahheadlines
2 Min Read

TUARAN, 9 OGOS – Kegembiraan dua remaja perempuan berusia 15 tahun berkelah dan mandi-manda di Pantai Tanjung Badak di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan meninggal dunia selepas dikhuatiri hilang di laut, petang tadi.

Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu menerusi talian balai pada jam 3.59 petang.

Menurut JBPM, pihaknya menerima maklumat bahawa dua remaja perempuan dikhuatiri hilang di laut ketika menjalankan aktiviti berkelah dan mandi-manda di pantai berkenaan.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran yang diketuai PBK II Rudy Mukis tiba di lokasi pada jam 4.28 petang dengan kekuatan 11 anggota membabitkan enam anggota menggunakan jentera FRT dan lima anggota menerusi EMRS.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat dimulakan menggunakan kaedah Water Surface Searching di sekitar kawasan mangsa kali terakhir dilihat.

Seorang mangsa terlebih dahulu berjaya ditemui oleh orang awam dan diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.

Bagaimanapun, mangsa kedua hanya berjaya ditemukan pada jam 5.08 petang. Mangsa kemudian dibawa ke kawasan selamat dan diberikan rawatan awal termasuk CPR oleh pasukan penyelamat.

Namun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat melibatkan kerjasama 11 anggota BBP Tuaran, tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota KKM.

Operasi keseluruhan ditamatkan pada jam 6.07 petang. Mangsa pertama, perempuan berusia 15 tahun dilaporkan selamat manakala mangsa kedua, juga perempuan berusia 15 tahun, disahkan meninggal dunia.

Share This Article