PPM W4 SABAH RAMPAS LEBIH 11 TAN SERBUK KETUM BERNILAI RM1.4 JUTA DI TUARAN

sabahheadlines
1 Min Read

TUARAN, 8 OGOS– Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tuaran berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan dan pengedaran serbuk ketum dalam satu operasi di sebuah premis di Jalan Tuaran, lebih kurang jam 6.00 pagi pada 06 Ogos lalu..

Bertindak atas maklumat risikan, pemeriksaan di premis dan sebuah lori menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang telah diproses dan dibungkus untuk pengedaran.

Keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 11,450 kilogram (11.45 tan) dengan nilai serbuk ketum kira-kira RM1.145 juta. Anggaran keseluruhan rampasan termasuk kenderaan pula bernilai lebih RM1.4 juta.

Dalam operasi tersebut, empat individu terdiri daripada tiga lelaki berusia 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Ujian saringan awal mendapati kesemua individu negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Siasatan dan tindakan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah dalam mengenalpasti baki sindiket terlibat selain tindakan lebih tegas dalam memastikan penyalahgunaan ketum dalam pelbagai bentuk dibanteras secara total.

PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkasakan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Share This Article