PPM W4 SABAH, MPOB LAHAD DATU RAMPAS ISIRUNG SAWIT BERNILAI LEBIH RM600,000

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 15 JULAI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu berjaya membongkar kegiatan penyimpanan isirung kelapa sawit tanpa lesen sah apabila merampas bahan komoditi itu bersama beberapa aset lain yang dianggarkan bernilai lebih RM600,000 dalam satu serbuan di Jalan POIC, di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan pada 14 Julai itu turut menyaksikan beberapa pekerja bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

Selain isirung kelapa sawit pihak berkuasa turut menyita beberapa aset yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan pengendalian komoditi berkenaan tanpa lesen yang sah.

Kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

PPM Wilayah 4 Sabah memaklumkan sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2026, sebanyak 11 kes telah direkodkan di bawah akta sama melibatkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM8.7 juta dengan 25 tangkapan berjaya dilakukan.

Menurutnya, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang khususnya melibatkan industri kelapa sawit yang menjadi antara komoditi utama negara.

PPM Wilayah 4 Sabah turut menegaskan bahawa kerjasama strategik dengan MPOB dan agensi penguat kuasa lain akan terus diperkasakan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan serta urus niaga komoditi sawit secara tidak sah demi melindungi kepentingan industri dan ekonomi negara.

Share This Article