LAHAD DATU, 12 JULAI – Kerajaan Sabah akan memperkukuh pelaksanaan program pendidikan kepada komuniti Pala’u (Sea Gypsies) sebagai usaha jangka panjang menangani isu sosial melibatkan golongan berkenaan di beberapa daerah di Pantai Timur Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Haji Arifin Arif berkata, pendidikan akan menjadi antara pengisian utama di rumah persinggahan yang disediakan bagi komuniti itu dengan pelaksanaa program akan diperincikan dari semasa ke semasa bersama agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut beliau usaha itu penting bagi memastikan komuniti Pala’u khususnya kanak-kanak tidak terus tercicir daripada arus pendidikan.
“Sudah pasti salah satu pengisian utama ialah memberikan mereka pendidikan. Saya juga yakin terdapat NGO dan pelbagai pihak yang berusaha memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada pembangunan pendidikan.
“Pendidikan mampu menjadikan seseorang itu lebih berilmu, memahami tanggungjawab serta mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala negatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah Aspirasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di Lahad Datu yang merupakan siri ke-16 daripada keseluruhan 25 daerah yang dijadualkan dilawati di seluruh Sabah.
Sebelum itu Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), Harun Ariffin dalam taklimat kepada Menteri KKTP itu memaklumkan bahawa pihaknya masih berdepan pelbagai cabaran dalam menangani isu komuniti Pala’u di daerah berkenaan.
Menurut Harun, komuniti Pala’u di Lahad Datu terdiri daripada mereka yang menetap di daerah itu selain kumpulan yang datang dari Kunak dan Semporna untuk mendapatkan bekalan makanan.
Kehadiran sebahagian daripada mereka turut menimbulkan isu sosial dan kebersihan awam termasuk aktiviti meminta sedekah, penyalahgunaan bahan inhalan, pergaduhan serta pembuangan sampah di kawasan awam.
Beliau berkata, antara pendekatan yang sedang dilaksanakan ialah menempatkan komuniti Pala’u di rumah persinggahan pada waktu siang bagi mengelakkan mereka berkeliaran di sekitar bandar sehingga mengganggu orang awam serta kelancaran lalu lintas akibat aktiviti meminta sedekah.
Katanya, rumah persinggahan itu juga akan menjadi lokasi pelaksanaan program pendidikan kepada kanak-kanak Pala’u sebagai usaha membantu mereka memperoleh akses kepada pendidikan dan pembangunan sahsiah.
Harun turut mencadangkan penubuhan satu unit khas bagi menyelaras pengurusan isu komuniti Pala’u secara lebih berkesan melalui kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
