KINABATANGAN, 2 JULAI – Seorang lelaki maut selepas tersepit di bawah bahagian hadapan sebuah lori lapan tan yang terbabas sendiri dalam kejadian di Kampung Paris 2, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.16 pagi itu, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkan dua lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut tersepit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Suriyadi Darwis berkata, sepasukan enam anggota bomba bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati dua mangsa tersepit di dalam lori. Seorang mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Seorang lagi mangsa didapati tersepit di bawah bahagian hadapan lori. Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas dengan bantuan sebuah jentera jengkaut bagi mengangkat bahagian hadapan lori yang menghempap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kedua berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai KKM sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki berusia 48 tahun manakala seorang lagi mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan.
Operasi yang diketuai PBKI Azemi Sidan itu turut dibantu anggota PDRM dan KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
