PERANCANGAN MENYELURUH PERKUKUH PELANCONGAN, EKONOMI BIRU SEMPORNA

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA,7 MEI-Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada perancangan menyeluruh termasuk penambahan fasiliti sedia ada bagi memperkukuh sektor pelancongan dan mengembangkan potensi ekonomi biru di Semporna.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Semporna mempunyai keistimewaan tersendiri kerana terkenal dengan destinasi pelancongan bertaraf dunia seperti Pulau Sipadan selain pulau-pulau lain yang menjadi tarikan utama pelancong.

Menurut beliau, daerah itu juga memiliki potensi besar dalam sektor perikanan dan aktiviti marin yang boleh diperkasakan menerusi penerokaan ekonomi biru selaras dengan hala tuju pembangunan negeri.

“Semporna bukan sahaja terkenal dengan pelancongan malah sektor perikanan dan sumber marinnya juga sangat berpotensi.

“Perancangan yang dibentangkan termasuk usaha menjaga kebersihan dan meningkatkan fasiliti seperti jeti di pulau-pulau akan dilihat secara menyeluruh bagi memastikan Semporna menjadi sebuah daerah pelancongan yang lebih hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna sempena lawatan beliau ke Pulau Mataking, hari ini.

Lawatan itu diadakan bersempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang bermula di Sandakan pada Selasa diteruskan ke Lahad Datu pada Rabu dan berakhir di Semporna pada Khamis.

Hajiji berkata, sektor pelancongan di Semporna mampu menjadi khazanah bernilai tinggi kepada Sabah dan negara sekiranya dipelihara serta dibangunkan dengan baik.

Katanya, kerajaan akan terus meningkatkan kemudahan dan keperluan infrastruktur pelancongan bukan sahaja di Semporna malah di Lahad Datu dan Sandakan.

Mengenai ekonomi biru beliau berkata sektor berkenaan turut digariskan dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara sumber baharu yang mampu meningkatkan hasil negeri dan ekonomi rakyat setempat.

“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam tempoh lima tahun akan datang dan diharap ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Dalam lawatan sama, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan semasa di pulau berkenaan.

Beliau turut menyempurnakan peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.

Share This Article