SABAH LANCAR PELAN TINDAKAN BIOTEKNOLOGI 2024-2034

sabahheadlines
3 Min Read

​KOTA KINABALU, 30 Jun – Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuhkan tadbir urus biodiversiti, agenda Bioekonomi dan industri bioteknologi melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034.

​Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyatakan bahawa pelan strategik ini bertujuan untuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti negeri secara bertanggungjawab dan berasaskan sains bagi menjana nilai tambah ekonomi, memperkukuh penyelidikan serta membina industri bioteknologi yang mampan.

​”Melalui pelaksanaan pelan tindakan ini, Sabah berhasrat menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi. Pada masa yang sama, kita mahu memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisi dimanfaatkan secara lestari demi memberikan manfaat yang adil kepada rakyat,” katanya.

​Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam pada majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 yang diadakan sempena Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia peringkat Sabah di Hotel Hilton, malam tadi.

​​Bertemakan “Tindakan Lokal, Impak Global”, Hajiji menegaskan bahawa Sabah memainkan peranan kritikal dalam menyumbang kepada agenda pemuliharaan biodiversiti di peringkat antarabangsa.

​Sebagai bukti komitmen tersebut, Sabah telah memperluaskan lagi Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) dengan mewartakan kira-kira 216,000 hektar kawasan baharu yang merangkumi hutan simpan komersial dan tanah kerajaan.

​Langkah agresif ini meningkatkan keluasan TPA negeri kepada 2.227 juta hektar iaitu bersamaan dengan 30.06 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah Sabah.

Pencapaian ini sekali gus berjaya memenuhi Sasaran 3 Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan dan perairan menjelang tahun 2030.

​Dalam perkembangan sama, Hajiji menyifatkan kawasan Hutan DaMal yang menggabungkan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak sebagai hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang terus menarik minat para saintis tempatan dan antarabangsa.

Pengiktirafan ini turut diperkukuh dengan peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri Sabah di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000.

​Satu lagi pencapaian bersejarah yang dikongsikan adalah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah (BSA) yang pertama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Botanickel Sabah Sdn. Bhd pada September 2025.

​Projek perintis ini memfokuskan kepada penggunaan teknologi fitoekstraksi inovatif di mana tumbuhan hiperakumulator asli Sabah digunakan untuk mengekstrak logam nikel daripada tanah secara semula jadi.

Usaha ini dijangka membuka peluang pekerjaan, mewujudkan kontrak pertanian jangka panjang, meningkatkan ekonomi komuniti tempatan, serta menyumbang kepada integrasi ekopelancongan.

​Mengenai penganjuran Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah, beliau berkata anugerah itu diperkenalkan sebagai platform tertinggi bagi menghargai sumbangan cemerlang para penyelidik dalam memperkayakan ilmu saintifik berkaitan biodiversiti negeri.

​Beliau berharap pengiktirafan ini akan terus memacu penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu menjulang nama Sabah di persada global selain menyokong usaha murni pemuliharaan khazanah alam untuk generasi masa hadapan.

TAMAT

Share This Article