KOTA KINABALU,25 FEBRUARI -Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan membantu mendapatkan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2024 dengan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 secara berperingkat melalui dua transaksi pemindahan wang dalam talian ke akaun peribadinya serta akaun milik anaknya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil bagi membantu siasatan lanjut.
TAMAT
