ANCAMAN BUAYA RAGUT LAGI NYAWA DI LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,30 JUN-
Ancaman buaya sekali lagi meragut nyawa apabila seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas dibaham reptilia itu ketika melakukan aktiviti menangkap hasil laut di Kampung Mundas, Tungku, pagi tadi.

Insiden itu menjadikan tragedi kedua melibatkan serangan buaya di Lahad Datu dalam tempoh dua hari sekali gus meningkatkan kebimbangan dalam kalangan komuniti yang bergantung kepada laut sebagai sumber rezeki.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam tujuh pagi ketika mangsa turun ke kawasan pantai untuk memeriksa pukat yang dipasang sehari sebelumnya.

Ketika sedang mengangkat hasil tangkapan, seekor buaya dipercayai muncul secara tiba-tiba lalu menyerang mangsa sebelum mengheretnya ke dalam air.

Sebaik menyedari kejadian itu, ahli keluarga bersama penduduk kampung segera melancarkan operasi mencari di sekitar lokasi.

Mangsa akhirnya ditemui kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan tidak bernyawa berhampiran kawasan serangan sebelum mayatnya dibawa ke darat untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau mengesahkan kejadian itu menerusi satu kenyataan media petang tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa diserang ketika memeriksa pukat di kawasan pantai Kampung Mundas sebelum dibaham dan dihanyutkan buaya.

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut.

Polis turut menasihatkan orang ramai khususnya nelayan dan komuniti pesisir pantai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di kawasan sungai, muara dan perairan yang dikenal pasti sebagai habitat buaya.

Tragedi ini mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di kawasan perairan terutama di lokasi yang diketahui mempunyai kehadiran buaya. Dalam tempoh dua hari, dua nyawa dilaporkan terkorban akibat serangan reptilia itu di daerah Lahad Datu.

TAMAT

Share This Article