ZAINUDIN TERIMA WATIKAH PERLANTIKAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 25 JUN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu.

Zainudin, yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, akan mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong secara rasmi pada 29 Jun ini.

Hajiji berkata, beliau yakin pelantikan itu akan memperkukuh lagi kecekapan perkhidmatan awam negeri dalam mendukung agenda transformasi pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah.

Sementara itu, Safar yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 28 Jun dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, Datuk Norlijah Danin yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) akan menggantikan Zainudin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Share This Article