SANDAKAN, 25 JUN – Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sandakan Ke-66 Tahun 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Jun di Stadium Kompleks Sukan Sandakan telah melabuhkan tirainya dengan penuh meriah dan semangat kesukanan.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Datuk Hazem Mubarak Tun Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila.
Bagi kategori sekolah menengah, SMK Batu Sapi muncul sebagai juara keseluruhan selepas mengungguli kutipan pingat, diikuti oleh SMK Sandakan, SMK Muhibbah dan SM Yu Yuan.
Sementara itu, bagi kategori sekolah rendah, Zon Libaran berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan, mengatasi Zon Prapai, Zon Batu Sapi dan Zon Elopura.
Datuk Hazem dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua atlet, guru, jurulatih dan pihak penganjur atas komitmen serta semangat tinggi yang ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Beliau berharap kejohanan ini terus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat-bakat sukan yang berpotensi mengharumkan nama Sandakan di peringkat lebih tinggi.
Oleh : Jalie mohamad
