LELAKI DITAHAN BERSAMA 17 BOTOL AIR KETUM DIRAMPAS DI RANAU

sabahheadlines
1 Min Read

RANAU, 18 JUN – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah kampung di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Ranau.

Menurutnya, suspek berusia 28 tahun itu ditahan bersama 17 botol berisi 1.5 liter cecair dipercayai air ketum yang disimpan di dalam sebuah bekas ais.

“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum antaranya sebuah tong gas, dapur memasak dan periuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengambilan serta pemprosesan cecair ketum merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mursalin menegaskan polis akan terus memperhebat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penjualan serta pemprosesan ketum demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah itu terus terpelihara.

Share This Article