KOTA KINABALU,9 JUN- Ahli Majlis Tertinggi dan exco Wanita Parti Warisan mengambil keputusan meninggalkan parti itu.
Mereka termasuklah Mohd Taib Isai (AMT) dan tiga Exco Wanita iaitu Datin Roziah (ketua wanita Kudat), Maini Tapah (ketua wanita Kota Marudu) dan Masilah Lidah yang merupakan ketua wanita Sandakan.
Keputusan meninggal Warisan itu dimaklumkan oleh Mohd Taib Isai.
Beliau bersama kumpulannya mengambil keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Mohd Taib berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepimpinan parti menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.
Menurutnya, ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana pandangan mereka tidak lagi diberikan perhatian selain beranggapan parti itu semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.
“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya setelah menilai perkembangan politik semasa dan hala tuju perjuangan yang lebih sesuai untuk masa depan Sabah.
“Kami melihat keperluan kepada sebuah wadah politik yang mampu menjamin kestabilan, perpaduan serta pembangunan berterusan untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Taib berkata, beliau yakin kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menyatukan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah agenda pembangunan yang jelas.
Katanya, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa Hajiji turut memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau turut menjangkakan gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat dengan lebih ramai pimpinan serta ahli Warisan dijangka mengambil langkah sama dalam masa terdekat.
Turut bersama meninggalkan Warisan ialah mantan Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Datuk Hanjan Samit; mantan Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Andrew Lintangah; Penyelaras DUN Tanjung Kapor, Datuk Arif Abdullah; dan mantan Timbalan Ketua Penaja Bahagian Warisan Kudat, Abu Bakar Angkang.
Selain itu, beberapa ahli jawatankuasa bahagian, ketua pusat daerah mengundi (PDM) serta pemimpin akar umbi dari Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Sandakan turut menyatakan sokongan kepada Gagasan Rakyat.
