Remaja Lemas di Sungai Kampung Rangalau Lama

sabahheadlines
1 Min Read

TUARAN, 15 Mac – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sungai di Kampung Rangalau Lama, Jalan Kiulu, di sini petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.49 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, PBK I Mahmud Jummah berkata, pasukan bomba tiba di lokasi tidak lama kemudian dan dimaklumkan bahawa mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai oleh rakan-rakannya sebelum gagal timbul.

Menurutnya, rakan mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian untuk mendapatkan bantuan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, mangsa telah berjaya ditemui oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital oleh pihak polis untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi yang melibatkan tiga anggota BBP Tuaran dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu dikawal pada jam 6 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Jarak lokasi kejadian dari balai bomba dianggarkan kira-kira 25 kilometer.

TAMAT

Share This Article