SANDAKAN, 8 JUN – Situasi di kawasan perairan daerah ini kekal stabil dan tidak menunjukkan sebarang perubahan paras laut selepas kejadian gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina pagi Isnin.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan telah mempergiatkan pemantauan di beberapa kawasan pesisir yang dikenal pasti berisiko tinggi sebagai langkah berjaga-jaga awal.
Antara lokasi terlibat termasuk Taman Harmoni, Kampung Forest, Kampung Sim-Sim, Pusat Bandar Kampung Batu Putih, Jeti Nunuyan, Bandar Nam Tung dan Pasir Putih serta kawasan pesisir berhampiran.
Menurut pemantauan di lapangan, semua kawasan berkenaan berada dalam keadaan normal tanpa sebarang tanda gangguan ombak luar biasa atau peningkatan paras air laut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapten Sulaiman Salama memaklumkan bahawa operasi pemantauan dijalankan secara berterusan sebagai langkah pencegahan awal bagi memastikan keselamatan penduduk pesisir pantai.
Beliau berkata, APM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bersama agensi berkaitan bagi memastikan sebarang risiko dapat dikenal pasti lebih awal.
Orang ramai turut dinasihatkan agar kekal tenang, peka terhadap maklumat rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih yang disebarkan.
