MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA VESSEL DISYAKI LANGGAR AKTA PERIKANAN DI PERAIRAN TABAWAN

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 31 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat jerut bilis dan sebuah pam bot dalam dua operasi berasingan di perairan Pulau Tabawan, Kunak semalam kerana disyaki melanggar Akta Perikanan 1985.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan antara jam 3.30 petang hingga 5 petang ketika anggota bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.

Menurut beliau, dalam kes pertama, sebuah vesel pukat jerut bilis dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan kira-kira 0.37 batu nautika tenggara Kampung Jaya Baru, Kunak.

Pemeriksaan mendapati vesel itu menangkap ikan dalam kawasan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati seorang tekong warga tempatan berusia 25 tahun bersama dua kru warga asing berusia 43 dan 57 tahun berada di atas vesel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan melibatkan bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM115,000.

Dalam operasi berasingan, anggota Maritim Malaysia mengesan sebuah pam bot mencurigakan kira-kira 0.23 batu nautika di timur Kampung Jaya Baru.

Bagaimanapun ketika pasukan operasi menghampiri sasaran, seorang individu yang dipercayai tekong bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke arah daratan berhampiran.

Pemeriksaan ke atas pam bot berkenaan menemukan sejumlah ikan campur yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

Bot tersebut kemudian dirampas untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM7,000.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang.

Semua bot dan kru yang ditahan serta barang rampasan telah dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

Share This Article