TAWAU, 27 Mac – Seorang lelaki berusia 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih tiga kilogram, dalam kejadian awal bulan ini.
Tertuduh, Hadriansyah Sabran yang bekerja sebagai penjaga stor, hanya mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar 3,071.04 gram dadah berbahaya jenis syabu di sebuah premis stor penyimpanan kenderaan di Jalan Sin Onn, kira-kira jam 7.30 malam pada 13 Mac lalu.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jefry Kadisun, manakala tertuduh dilaporkan tidak diwakili peguam. Tiada tawaran jaminan diberikan.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan laporan kimia.
TAMAT
