KOTA KINABALU, 14 Januari 2026 – Kerajaan Negeri Sabah merancang untuk membekalkan sebanyak 45,000 unit komputer riba kepada sekolah-sekolah di seluruh negeri menerusi kelulusan yang akan dipohon daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi memperkasa pembangunan pendidikan digital.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi sekolah rendah dan menengah di Sabah, yang dipengerusikannya hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, termasuk pembekalan papan pintar (smart board), pemasangan sambungan internet satelit Starlink di 68 sekolah tanpa capaian internet, serta penyediaan sistem tenaga solar bagi sekolah yang belum mempunyai bekalan elektrik.
“Langkah ini penting bagi memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam pembangunan teknologi pendidikan, khususnya dalam penerapan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan inisiatif itu akan dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan agensi berkaitan, demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh warga sekolah.
Usaha tersebut, katanya, merupakan pelaburan strategik kerajaan negeri bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak Sabah agar lebih berdaya saing dalam era digital.
TAMAT
