RANJAU POLITIK KUATKAN SEMANGAT PERJUANGAN-HAJIJI

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU:17 MEI-Keputusan beberapa parti untuk keluar daripada gabungan memberi kekuatan kepada semangat perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Nor berkata, keputusan itu tidak melemahkan semangat perjuangan demi rakyat negeri ini.

“Sebab itulah GRS ditubuhkan dan daripada perjuangan itulah, lahirnya Parti Gagasan
Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai tunjang utama untuk memastikan rumah
politik Sabah ini terus kukuh, stabil dan dipimpin oleh perjuangan yang berpaksikan
rakyat negeri ini,” katanya pada ucaptama Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Hajiji yang juga pengerusi GRS mengimbau kembali mengenai ranjau politik dihadapi gabungan itu sejak mula-mula mengambil alih kerajaan pada 2020.

Katanya, pada masa itu semua sedar aspirasi rakyat Sabah yang tidak mahu terus
bergantung kepada percaturan orang lain untuk menentukan masa depan negeri ini.

Jelasnya, Sabah pada masa itu memerlukan satu kekuatan tempatan yang mampu
bercakap dengan suara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan
kepentingan rakyat Sabah dengan lebih berani dan bermaruah.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat menyaksikan realiti parti politik
negeri ini yang tidak pernah kekal dalam perjuangan bersama berikutan ada pemimpin
berubah arah ketika menjelang pilihan raya.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat menegaskan peristiwa itu membawa
pengajaran besar kepada GRS dan parti pimpinannya dalam mencorak perjuangan
serta masa depan parti, terutama bagi mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.

“Dahulu, ada yang paling lantang bercakap tentang Sabah mesti kuat seperti Sarawak,
merekalah yang berkobar-kobar menyeru supaya parti-parti tempatan bersatu,
bercakap tentang satu hati, tentang maruah politik Sabah dan perjuangan tempatan
untuk rakyat Sabah.

“Tapi, apabila tiba musim ujian, pilihan raya semakin dekat, kuasa dan kedudukan mula
menjadi pertimbangan, di situlah kita nampak warna sebenar perjuangan mereka. Ada
yang mahu keluar, ada yang tiba-tiba mahu membawa haluan solo malah ada juga
yang meninggalkan perjuangan hanya kerana jawatan yang diharapkan tidak menjadi
miliknya.

“Kita hormati keputusan mereka, kita tidak marah, tidak berdendam Tetapi rakyat boleh
melihat sendiri; siapa yang benar-benar berjuang untuk Sabah? Setiap peristiwa itu
mesti menjadi pengajaran besar kepada kita semua.

“Perjuangan sebenar diuji apabila kepentingan peribadi terpaksa diketepikan demi kestabilan dan kekuatan bersama. Kalau benar kita mahu Sabah kuat seperti Sarawak, maka kekuatan itu tidak boleh lahir daripada ego politik yang berpecah-pecah.

“Sebab itu, setiap kali ada yang memilih untuk pergi, Gagasan Rakyat tidak boleh
menjadi lemah. Sebaliknya kita mesti menjadi lebih kuat, lebih tenang dalam menghadapi cabaran, lebih matang membuat keputusan, lebih teratur dalam perjuangan dan lebih bersatu mempertahankan rumah kita ini,” katanya.

Katanya, apa yang rakyat mahukan ialah pekerjaan, ekonomi yang bergerak, peluang
untuk anak-anak mereka dan mahukan kerajaan yang stabil serta mampu menyelesaikan masalah.

“Itulah ukuran politik yang sebenar. Kalau kita terlupa perkara ini, mungkin kita menang
di pentas ucapan sahaja tetapi kalah dalam keyakinan rakyat.

“Hari ini saya bercakap bukan sahaja sebagai Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah tetapi saya juga bercakap sebagai Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah.

“Tanggungjawab ini amatlah besar, sebab itu keputusan parti tidak boleh dipandu oleh
fikiran yang sempit atau pertimbangan jangka pendek. Ada waktunya, kita perlu
menyusun semula kekuatan dan struktur perjuangan supaya rumah besar yang kita
bina ini terus kukuh, stabil dan mampu diwariskan kepada generasi yang akan datang,” katanya.

Share This Article