MARITIM MALAYSIA GAGAL CUBAAN SELEWENG 3,000 LITER DIESEL DI SEMPORNA

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 14 MEI- Cubaan menyeleweng kira-kira 3,000 liter minyak diesel dipercayai untuk diseludup gagal apabila sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Gaya, kelmarin.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 1.15 petang ketika bot ronda BANGGI 09 menjalankan Op Khas Cegah PATI, Op Tiris 4.0 dan Op Sejahtera di kawasan terbabit.

Menurutnya, bot kargo berwarna biru itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, namun berjaya dipintas kira-kira 7.5 batu nautika barat laut Pulau Gaya.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebuah tangki yang diubah suai dan diisi cecair disyaki minyak diesel berkapasiti kira-kira 3,000 liter,” katanya.

Dalam operasi itu, seorang tekong dan tiga awak-awak turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan muatan bahan api berkenaan.

Turut dirampas sebuah bot nelayan tempatan, enjin Mitsubishi 85HP, pam air jenama Asuka serta beberapa dokumen dan lesen bot dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM58,000.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Share This Article