PENAMPANG, 7 MEI-Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah tandas di Kampung Tuntuluk, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, mangsa berusia 16 tahun dan bukan warganegara itu ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan di bahagian leher.
Menurutnya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
“Kes masih dalam siasatan dan polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, ASP Hairie Awang Akub di talian 016-8032849.
Sammy turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.
