KENINGAU, 25 Mac — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua individu yang dikhuatiri hilang ketika mencuba sebuah bot di sungai berhampiran Taman Bersatu di sini memasuki hari kedua dengan perkembangan penting apabila seorang mangsa ditemui lemas, petang tadi.
Mangsa lelaki berusia 60 tahun ditemukan kira-kira jam 5.21 petang oleh pasukan orang awam, dikenali sebagai Team Gallen Star, pada jarak sekitar tujuh kilometer dari lokasi terakhir dilaporkan hilang. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di tengah sungai, tersangkut di celahan timbunan kayu serta dahan sawit yang hanyut.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat telah memulakan operasi seawal jam 6.10 pagi. Usaha pencarian dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sepanjang Sungai Banjar dan Sungai Mempikit.
Mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga cucu kepada si mati, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, masih belum ditemui setakat ini.
Operasi SAR bagaimanapun ditangguhkan pada jam 6.37 petang berikutan faktor keselamatan dan keadaan persekitaran yang semakin gelap. Pencarian dijangka disambung semula esok dengan penglibatan semua agensi berkaitan.
Dalam pada itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap operasi pencarian mangsa kedua dipermudahkan.
Perkembangan lanjut operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
TAMAT
