BEAUFORT,6 MEI- Tanaman limau manis di beberapa buah kampung sekitar daerah ini dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai salah satu sumber ekonomi baharu khususnya dalam sektor pertanian tempatan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, hasil lawatan bersama agensi berkaitan mendapati tahap kesuburan tanaman limau di kawasan Kampung Batanduk Lubak serta Kampung Naparan Kepawa berada pada tahap yang memberangsangkan.
Beliau berkata, lawatan itu turut melibatkan Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Tanah dan Ukur serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) bagi menilai sendiri keadaan kebun serta potensi pengembangan tanaman berkenaan.
“Pertama sekali kita melihat kesuburan tanaman limau ini sangat baik dan keduanya potensi untuk dimajukan atau dikembangkan juga sangat tinggi.
“Selain itu kita turut menilai risiko atau ancaman yang dihadapi oleh para pekebun termasuk keperluan bimbingan bagi memastikan hasil yang dikeluarkan mencapai kualiti terbaik,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, antara faktor utama yang menyokong perkembangan tanaman itu ialah status kawasan berkenaan yang telah diisytiharkan bebas daripada ancaman penyakit oleh Jabatan Pertanian.
Katanya, keluasan tanah yang masih tersedia juga memberi ruang besar untuk memperluaskan penanaman limau secara lebih komersial pada masa akan datang.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani termasuk aspek kualiti buah serta pemasaran hasil.
“Sebahagian pengusaha perlu dibimbing untuk menghasilkan buah limau yang benar-benar bermutu tinggi khususnya dari segi rasa manis dan standard pasaran.
“Pada masa sama mereka turut berdepan kesukaran dalam memasarkan hasil walaupun kita yakin isu pasaran sebenarnya tidak menjadi masalah besar jika kualiti dapat dipenuhi,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa permintaan terhadap limau masih tinggi di negara ini memandangkan Malaysia masih bergantung kepada import dari luar negara khususnya dari China.
“Jika kita lihat, negara kita mengimport limau dalam jumlah yang sangat besar sedangkan pengeluaran tempatan khususnya di Sabah masih rendah.
“Jadi, apa yang perlu kita lakukan ialah memperkukuh bimbingan kepada pekebun serta membantu dari segi pemasaran melalui inisiatif Jabatan Pertanian,” katanya.
Dalam pada itu Ruslan berkata, pihaknya juga melihat usaha pekebun tempatan yang mula memproses hasil limau menjadi produk hiliran seperti jus sebagai satu perkembangan positif.
Katanya, inisiatif itu berpotensi meningkatkan nilai tambah hasil pertanian namun memerlukan sokongan teknikal daripada agensi seperti Jabatan Pertanian dan MARDI bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian serta selamat untuk dipasarkan.
“Kita mahu produk seperti jus limau ini bukan sahaja berkualiti tetapi juga diyakini pengguna dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau optimis dengan sokongan berterusan daripada agensi kerajaan serta komitmen para pekebun, industri limau manis di Beaufort mampu berkembang menjadi salah satu penyumbang penting kepada ekonomi luar bandar di daerah itu.
