BEAUFORT, 6 Mei – Sebuah rumah kediaman jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Laut, Weston, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Isruwan Osman berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan kira-kira 30 x 70 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba.
Seramai enam anggota BBP Beaufort bersama sembilan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubuk terlibat dalam operasi tersebut.
Operasi berjaya dikawal pada jam 3.29 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Difahamkan tiada liputan GIRN di kawasan berkenaan sepanjang operasi dijalankan.
