BEAUFORT,6 MEI -Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Klias tidak berhalangan untuk menyokong penstrukturan parti.
Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat bahagian itu, Haji Mohd Jali Nordin berkata, perkara itu telah diperbincangkan oleh jawatankuasa bahagian.
“Kita tidak berhalangan untuk menyokong kerana kita yakin penstrukturan itu dapat memperkasakan parti,” katanya di sini kelmarin.
Beliau memberitahu, keputusan majlis tertinggi parti untuk mencadangkan penstrukturan parti sudah tentu mengambilkira kekuatan parti.
Pandangan dan penilaian katanya, sudah tentu dibuat menerusi kajian yang mendalam.
“Kita tidak melihat penstrukturan itu melemahkan parti sebaliknya dapat meningkatkan sokongan kepada parti,” katanya.
Mohd Jali berkata, penstrukturan itu juga dapat melancarkan pengurusan parti “dan pasti mendapat sokongan daripada akar umbi.”
Gagasan Rakyat dijangka akan membuat pindaan perlembagaan berkaitan penstrukturan itu pada perhimpunan agung luar biasa 17 Mei ini.
Dalam pada itu, Mohd Jali memberitahu bahawa cadangan penstrukturan parti telah dimaklumkan pada peringkat bahagian dan telahpun diperbincangan.
“Sekali lagi saya tegaskan bahawa kami akan menyokong penstrukturan itu,” katanya lagi.
