PENINGKATAN KETERJAMINAN MAKANAN DAN SSR JADI KEUTAMAAN SABAH

sabahheadlines
3 Min Read

PAPAR, 1 MEI- Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) bagi tahun ini dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) di Sabah.

Beliau memaklumkan, pelbagai inisiatif telah dirangka dan sedang dilaksanakan termasuk penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan kawasan jelapang padi di beberapa lokasi strategik seperti Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.

Menurutnya, sektor pertanian kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 khususnya dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global.

“Kerajaan negeri komited memastikan sekuriti makanan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri di Dewan Masyarakat Papar, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa rakyat Sabah supaya terus menyokong produk tempatan khususnya hasil pertanian negeri sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.

Hajiji berkata, kemajuan negeri tidak akan bermakna tanpa perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama justeru rakyat diseru untuk terus bekerjasama menjayakan agenda pembangunan negeri di bawah hala tuju SMJ 2.0.

Kerajaan negeri katanya, akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosial.

“Pembangunan yang inklusif dan seimbang akan terus menjadi keutamaan supaya manfaat kemakmuran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Mengulas perkembangan di Papar, beliau menyifatkan daerah itu menunjukkan perubahan ketara melalui pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial termasuk di kawasan Benoni dan Kinarut.

Tambahnya, Papar berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak selepas siap sepenuhnya Lebuhraya Pan Borneo.

Dengan adanya kemudahan seperti Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Papar juga dilihat mampu berkembang sebagai daerah progresif dan berdaya saing.

Beliau berkata, pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan tahun ini adalah bertepatan memandangkan daerah itu terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi utama negeri.

“Papar bukan sahaja kaya dengan hasil pertanian malah memiliki keunikan budaya serta semangat perpaduan masyarakat yang mencerminkan identiti sebenar Sabah,” katanya.

Menurutnya, tema sambutan Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, menggambarkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang yang bersama-sama memeriahkan majlis tersebut, sekali gus mencerminkan semangat keharmonian yang kukuh.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan memelihara warisan budaya agar terus diwarisi generasi akan datang, selain mendidik golongan muda untuk menghargai kepelbagaian sebagai asas perpaduan.

Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan kemudahan grandstand di Papar, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kemudahan sukan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Share This Article