KEBUN DAPUR DIPERLUAS KE KAWASAN DUN

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 30 APRIL-Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, melancarkan pengagihan Kit Kebun Dapur kepada wakil rakyat serta ketua jabatan negeri sebagai langkah memperkasa usaha jaminan bekalan makanan di peringkat komuniti.

Program itu merangkumi penyaluran pelbagai input asas pertanian seperti anak ayam, itik penelur, burung puyuh, anak pokok nanas MD2, anak benih sayuran, benih padi serta bekalan beras kampung bagi menyokong aktiviti kebun dapur secara menyeluruh.

Jamawi berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat diperluaskan ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya lebih ramai masyarakat dapat memanfaatkan peluang mengusahakan kebun dapur secara terancang dan berpotensi menjana hasil.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah mampu meningkatkan tahap sara diri dalam kalangan isi rumah.

“Program ini diharap dapat menyemarakkan budaya bercucuk tanam dalam kalangan rakyat sekali gus memperkukuh sekuriti makanan negeri,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pegawai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) di setiap daerah akan terus komited menyediakan khidmat sokongan termasuk latihan, bimbingan teknikal dan nasihat kepada peserta program.

Dalam majlis sama, Jamawi turut menyampaikan kit berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri N51 Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa.

Share This Article