MUFTI MENK LAKUKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ISTANA SERI KINABALU

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 30 APRIL– Ulama tersohor dunia, Mufti Ismail ibn Musa Menk atau lebih dikenali sebagai Mufti MENK hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.

Kehadiran Mufti Menk ke Sabah adalah bersempena jemputan menyampaikan ceramah di Sabah International Convention Centre malam ini yang dijangka menarik kehadiran ribuan umat Islam dari seluruh negeri.

Dalam pertemuan tersebut Tun Musa menyambut baik kehadiran tokoh agama berkenaan dan menyifatkan ia memberi nilai tambah besar kepada masyarakat Islam di Sabah.

Ceramah dan dakwah yang dibawa mampu memperkukuh kefahaman agama serta menyatukan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Sabah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, negeri ini terus kekal aman dan harmoni.

Sementara itu Mufti Menk menyifatkan Sabah sebagai sebuah negeri yang unik serta mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk yang baik.

Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat perpaduan rakyat Sabah serta memuji Malaysia sebagai antara negara Islam yang aman dan progresif.

Dalam perkembangan berkaitan Tun Musa minggu lalu turut menghadiri majlis ilmu bersama penceramah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad di Masjid Negeri Sabah sebagai usaha memperkukuh penghayatan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Share This Article