LAHAD DATU,21 JULAI- Selepas kira-kira empat tahun dibelenggu aduan penduduk, sebuah premis pengumpulan dan pemprosesan besi buruk yang beroperasi di kawasan komersial di sini akhirnya diarahkan menghentikan operasi di lokasi sedia ada dalam tempoh seminggu sebelum berpindah ke kawasan yang lebih sesuai.
Tindakan itu diambil Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) susulan kebimbangan komuniti setempat berhubung gangguan habuk, bunyi bising daripada jentera berat serta kesesakan lalu lintas akibat pergerakan kenderaan berat di kawasan berkenaan.
Pengerusi Penguatkuasaan MDLD, Mohd Syahid Gulam, berkata premis terbabit telah menjadi subjek aduan penduduk sejak beberapa tahun lalu menyebabkan pihak majlis mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan kompaun dan notis berkaitan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan serta perbincangan bersama pengusaha premis, pihak terbabit bersetuju untuk memindahkan operasi mereka selewat-lewatnya penghujung Julai ini.
“Pengusaha telah memberi komitmen untuk berpindah dalam tempoh yang dipersetujui. Bagaimanapun, lokasi baharu yang dicadangkan perlu dinilai terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar sesuai dengan aktiviti yang dijalankan.
“Kita mahu memastikan kawasan baharu itu tidak menimbulkan masalah sama kepada komuniti lain pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pemeriksaan tapak yang melibatkan pihak MDLD, ahli majlis serta pihak berkepentingan pada Selasa.
Mohd Syahid berkata, sebarang kelulusan lesen bagi lokasi baharu perlu mengambil kira aspek kesesuaian kawasan, keselamatan, kesihatan awam serta kesan terhadap persekitaran sekeliling.
Katanya, langkah pemindahan itu bukan bertujuan menghalang pengusaha menjalankan perniagaan sebaliknya memastikan aktiviti tersebut dijalankan di lokasi yang lebih terkawal dan mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, wakil komuniti terjejas, Lincoln Liaw, menyambut baik tindakan MDLD yang disifatkan sebagai perkembangan positif selepas penduduk mengemukakan pelbagai aduan sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, penduduk tidak pernah berniat untuk menutup operasi perniagaan berkenaan sebaliknya berharap ia dipindahkan ke kawasan perindustrian yang lebih sesuai serta jauh daripada kawasan kediaman dan premis perniagaan.
“Kami menghargai tindakan MDLD yang mengambil serius isu ini. Apa yang penting ialah memastikan keseimbangan antara kepentingan perniagaan dan keselesaan penduduk,” katanya.
Beliau turut berharap MDLD terus memantau proses pemindahan bagi memastikan pengusaha menunaikan komitmen yang diberikan mengikut tempoh ditetapkan.
Sebelum ini, penduduk membangkitkan kebimbangan mengenai kesan operasi premis itu termasuk penghasilan habuk, bunyi bising jentera berat sehingga lewat petang serta gangguan trafik akibat kenderaan berat yang diletakkan di sepanjang jalan berhampiran.
Dalam pada itu, Ahli Majlis MDLD, Tan Cheng Teng, berkata tindakan pemindahan tersebut mengambil kira kepentingan semua pihak terutama aspek kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau berkata, pengusaha masih diberi peluang meneruskan aktiviti perniagaan, namun perlu beroperasi di lokasi yang lebih sesuai serta mematuhi semua syarat ditetapkan.
“Keutamaan majlis adalah memastikan pembangunan dan aktiviti perniagaan dapat berjalan seiring dengan kepentingan masyarakat setempat,” katanya.
Dengan pelaksanaan pemindahan itu, penduduk berharap isu gangguan yang berlarutan sekian lama dapat diselesaikan manakala pengusaha pula dapat meneruskan operasi di kawasan yang lebih kondusif dan bersesuaian.
