PGA BRIGED SABAH CATAT RAMPASAN RM5.3 JUTA MENERUSI OPS TIRIS

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,30 APRIL- Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan kejayaan membanggakan menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan sejak 16 Mac lalu.

Sepanjang tempoh itu sebanyak 57 serbuan dilaksanakan oleh PGA Briged Sabah membabitkan 67 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM5.3 juta.

Komander Briged Sabah PGA, Datuk Noor Omar berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen tinggi warga briged dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

Menurutnya, dalam usaha memperkukuh pemantauan, PGA Briged Sabah turut menjalankan kawalan rapi di tujuh stesen minyak yang dikenal pasti sebagai lokasi “hotspot”.

Pemantauan dilaksanakan secara statik selama 24 jam oleh anggota PGA bagi memastikan tiada aktiviti penyelewengan atau ketirisan bahan api berlaku.

“Sepanjang Op Tiris ini, pihak Briged Sabah PGA telah membuat kejayaan dengan membuat 57 kes serbuan, 67 tangkapan dan keberhasilan sebanyak 5.3 juta…

“Suka juga saya maklumkan bahawa PGA Briged Sabah melaksanakan pemantauan di tujuh stesen minyak yang dikekritkan sebagai hotspot. Pemantauan ini adalah secara 24 jam dan statik oleh anggota-anggota daripada PGA,katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan kepada orang awam supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan bahan api khususnya dan juga bahan-bahan makanan kawalan.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Perhimpunan Bulanan PGA Briged Sabah, pagi tadi.

Dalam majlis yang sama, Briged Sabah turut mengukuhkan kerjasama strategik bersama pihak media melalui pelantikan Asisten Superintendan Polis (ASP) Kehormat, Mohammed Yazzer bin Mahmun wakil Rangkaian Media Prima Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Media rasmi Pasukan Gerakan Am Briged Sabah.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam membantu liputan bersama PGA termasuk ketika Ops Daulat 2013 di Lahad Datu serta pelbagai penugasan di sempadan Sabah.

Inisiatif itu juga dilihat mampu memartabatkan kredibiliti pasukan PGA di mata masyarakat serta memastikan penyaluran maklumat yang tepat berkaitan operasi keselamatan di negeri ini.

Selain kejayaan di lapangan, Briged Sabah turut menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sukan apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Kejohanan Karate Piala Pesuruhjaya Polis Sabah 2026.

Share This Article