LAHAD DATU, 29 APRIL – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya membawa tiga kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 hingga ke peringkat sabitan di Mahkamah Majistret Lahad Datu, dengan jumlah denda keseluruhan hampir RM100,000.
Dalam kes pertama, seorang tertuduh yang dituduh pada 6 Februari 2026 dikenakan denda RM40,000 atau penjara 24 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagi kes kedua, seorang lagi tertuduh yang didakwa pada 6 April 2026 turut dikenakan denda RM40,000 atau penjara 24 bulan jika gagal menjelaskan bayaran.
Sementara itu, dalam kes ketiga, tertuduh yang dituduh pada 23 April 2026 dijatuhi hukuman denda RM18,000 atau penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail berkata, kejayaan sabitan ini membuktikan komitmen berterusan pihak BSJN dalam membanteras penyalahgunaan bahan terlarang di daerah berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih terlibat dalam kegiatan tersebut dan akan terus mempergiatkan risikan serta operasi dari semasa ke semasa.
“Ini adalah amaran keras kepada semua pihak agar menghentikan sebarang aktiviti berkaitan bahan terlarang. Tindakan tegas akan terus diambil,” katanya.
Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai bahawa memiliki, memproses atau menjual ketum serta ubat batuk tanpa lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Polis turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat dan menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881111, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
