KOTA KINABALU, 27 APRIL – Kerajaan negeri Sabah terus komited melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup dengan mengekalkan subsidi diesel sebagai langkah mengawal kos pengangkutan dan menstabilkan harga barangan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah tersebut penting bagi memastikan kenaikan kos bahan api di peringkat global tidak dipindahkan kepada pengguna selain membantu kelangsungan perniagaan tempatan yang sensitif terhadap perubahan kos operasi.
“Kerajaan negeri konsisten menyuarakan kepentingan mengekalkan subsidi diesel di Sabah sebagai langkah kritikal untuk mengawal kos pengangkutan dan mengelakkan beban kenaikan kos dipindahkan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang mengenai langkah segera kerajaan negeri dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan kewangan secara berterusan dan bersasar bagi meringankan beban rakyat.
Antara inisiatif utama ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang menyediakan bantuan bulanan selama tempoh 12 bulan kepada kira-kira 100,000 penerima dan dijangka meningkat kepada 140,000 penerima.
“Program ini melibatkan peruntukan lebih RM339.6 juta dan dilaksanakan selari dengan bantuan di peringkat Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah,” katanya.
Menurut beliau, langkah berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di tengah ketidaktentuan ekonomi global.
