15 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS SAPU IMIGRESEN SABAH

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 27 APRIL- Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff memaklumkan seramai 15 warga asing ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Ops Sapu yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 25 individu di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, sebelum 15 daripadanya dikenal pasti melakukan pelanggaran undang-undang imigresen.

“Daripada jumlah yang ditahan, tujuh lelaki dan lapan wanita dewasa warga Filipina dipercayai melakukan kesalahan termasuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kesemua individu berkenaan disiasat di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke depot tahanan imigresen bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa JIM Sabah akan terus mempergiat operasi seumpama ini secara berterusan bagi mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang negara.

“Pendekatan penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara konsisten dari semasa ke semasa bagi memastikan Sabah kekal terkawal daripada sebarang pelanggaran imigresen,” ujarnya.

Share This Article