LEBIH 1,300 LITER PETROL DISYAKI DISELUDUP DIRAMPAS DI SEMPORNA

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 17 APRIL – Pegawai Pemerintah Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak, Superintendan Polis memaklumkan lebih 1,300 liter minyak petrol disyaki cuba diseleweng berjaya dirampas dalam dua operasi berasingan yang dilaksanakan di daerah ini, kelmarin.

Menurut beliau, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai melebihi RM55,000 hasil tindakan penguatkuasaan bersepadu oleh beberapa agensi sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi pertama, sepasukan anggota PGA menahan seorang individu di kawasan Jeti Kayu Jalan Kastam. Pemeriksaan ke atas bot laju yang digunakan membawa kepada penemuan 175 liter minyak dipercayai petrol bersama enjin sangkut.

Nilai keseluruhan rampasan dalam kes berkenaan dianggarkan mencecah RM50,747.25 termasuk bot dan peralatan yang digunakan.

Sementara itu dalam operasi kedua oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna sejumlah 1,175 liter minyak petrol ditemui di sebuah rumah atas air di Kampung Srijaya.

Rampasan tersebut tidak melibatkan sebarang tangkapan dan dianggarkan bernilai sekitar RM5,017.25.

KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.

Menurut kementerian itu, usaha penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi membanteras aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi sekali gus memastikan bekalan sampai kepada golongan yang layak.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN termasuk aplikasi mudah alih dan talian aduan yang disediakan.

Share This Article