OLEH: SYAMILLAH SALLEH
LAHAD DATU (14 MEI): Polis berjaya merampas sekurang-kurangnya 61 tan kernel dengan nilai lebih RM2 juta dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di sini awal pagi semalam.
Polis juga menahan dua lelaki tempatan pada serbuan di jalan POIC itu.
Lelaki berusia 39 dan 48 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh pasukan Polis Marin Lahad Datu Wilayah 4 bersama pasukan khas MPOB di Jalan POIC sekitar jam 3.10 pagi.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim memaklumkan ketika serbuan kedua-dua lelaki itu didapati sedang memindahkan isirung sawit dari dua buah lori treler ke dalam kawasan premises menggunakan dua unit jentolak (bulldozer).
Menurutnya, operasi yang dijalankan bersama pasukan khas MPOB telah berjaya merampas sekarang-kurangnya 61 tan kernel dan nilai rampasan dianggarkan RM 2,001,500.00.( lebih RM 2 Juta).
Katanya, antara barangan yang turut dirampas ialah dua buah kepala lori dan treler berwarna hijau,dua buah bulldozer warna kuning,satu unit timbangan tanpa jenama berserta kelengkapan, satu buah bunker berkapasiti 1.5 tan.
Kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada MPOB untuk pemindahan dan penyimpanan bahan komoditi berkenaan di premis tersebut.
Kes disiasat di bawah Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PPLMSM) 2005 kerana menyimpan isirung kelapa sawit tanpa lesen yang sah.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada MPOB Cawangan Lahad Datu bagi siasatan seterusnya.
TAMAT
