MAYBANK ISLAMIC PERKASA PERANAN MASJID MENERUSI INISIATIF ‘SALAM FESTIVAL 2026’

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 12 APRIL – Maybank Islamic terus memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti menerusi pelaksanaan inisiatif berskala nasional Salam Festival 2026 yang memfokuskan kepada kebajikan masyarakat sepanjang Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

Masjid Nurul Aman hari ini menjadi tumpuan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan dengan kerjasama Maybank Islamic sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa fungsi masjid sebagai hab kemasyarakatan.

Wakil Maybank Islamic, Hendra Octovian Mohd berkata, inisiatif Salam Festival 2026 dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri serta melibatkan 122 masjid terpilih di seluruh negara.

Menurutnya, program berkenaan merangkumi pelbagai aktiviti kebajikan sepanjang tiga bulan kebesaran Islam dengan sasaran memberi manfaat kepada lebih 87,500 individu.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meringankan beban golongan memerlukan di samping mengukuhkan hubungan antara institusi kewangan Islam dan komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan, di sini, hari ini.

Selain menekankan aspek kebajikan, majlis itu turut memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan harta berlandaskan syariah.

Hendra berkata, harta merupakan amanah yang perlu diurus secara bijaksana demi kesejahteraan keluarga dan komuniti.

Tambah beliau, Maybank Islamic menyediakan penyelesaian pengurusan harta secara menyeluruh berteraskan prinsip syariah melalui instrumen seperti zakat, wasiat dan hibah bagi memastikan keberkatan serta keharmonian keluarga terus terpelihara.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Masjid Nurul Aman Lahad Datu, Tuan Haji Dr. Mohammad Ayub Hj Yakub, Pengurus Maybank Cawangan Lahad Datu serta Puan Erawati Binti Mappayompa.

Share This Article