IDS Agih 20,440 Pek “Hero Meals” Kepada Mangsa Banjir Di Tujuh Daerah

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 10 Mac – Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) melalui inisiatif Disaster Monitoring Hub (D-Hub) menggerakkan misi bantuan kemanusiaan dengan mengagihkan sebanyak 20,440 pek makanan sedia dimakan atau “Hero Meals” kepada mangsa banjir di tujuh daerah di Sabah.

Bantuan itu melibatkan kawasan Paitan, Pitas, Sook, Beaufort, Membakut, Sipitang dan Tenom hasil penyelarasan pasukan di lapangan bersama rakan strategik.

Bagi fasa terbaharu, agihan dilakukan di Beaufort (520 penerima), Membakut (520), Sipitang (520) dan Tenom (600) sebagai sebahagian usaha berterusan IDS memastikan bantuan sampai kepada komuniti terjejas dengan cepat dan teratur.

Sebelum ini bantuan sama turut diagihkan di beberapa daerah lain termasuk Keningau, Telupid, Pitas, Sook dan Kota Marudu.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, berkata inisiatif D-Hub bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pemantauan bencana malah turut menyelaras bantuan secara lebih sistematik dan berimpak kepada komuniti.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan dengan kerjasama Kembara Kitchen sebagai penyedia makanan serta CIMB Foundation sebagai rakan penyumbang bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam masa sama, IDS mengalu-alukan sumbangan tambahan daripada orang ramai dan pihak korporat khususnya keperluan asas seperti lampin bayi, susu bayi dan tuala wanita bagi membantu mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

TAMAT

Share This Article