TAWAU, 17 Dis- Seorang lelaki cedera ringan selepas lori muatan 10 tan yang dipandunya terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Taman Rekreasi Air Panas di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 17 Disember kira-kira jam 10.43 pagi melalui talian NG999 sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi pada jam 10.54 pagi, kira-kira 23 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Jehrey bin Ibno, berkata kemalangan melibatkan sebuah lori muatan 10 tan yang dipercayai terbabas di bahu jalan sebelum terjunam ke dalam gaung.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam lori berkenaan dan pasukan bomba segera menjalankan kerja-kerja menyelamat,” katanya.
Menurut beliau, operasi menyelamat dijalankan dengan berhati-hati berikutan keadaan lori yang tidak stabil dengan pasukan bomba menggunakan sistem anchor bantuan daripada jentera jengkaut dan lori tunda bagi memastikan keselamatan anggota dan mangsa.
Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan pengusung (stretcher) sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Mangsa yang berusia 41 tahun dilaporkan mengalami cedera ringan di bahagian dada, tangan dan kaki.
Operasi melibatkan 11 anggota bomba BBP Tawau dibantu oleh dua anggota KKM dan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), menggunakan dua jentera FRT.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.20 tengah hari.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai BBP Tawau, TPgB II Jemishin bin Ujin di talian 013-548 0760.
