SANDAKAN, 10 APRIL – Usaha memperkukuh warisan bola sepak negeri Sabah terus diperkasa menerusi satu inisiatif baharu yang memfokuskan kepada penghargaan dan pendokumentasian sumbangan bekas pemain khususnya dari daerah Sandakan.
Inisiatif ini digerakkan hasil pertemuan strategik antara wakil komuniti bola sepak tempatan bersama Persatuan Bola Sepak Daerah Sandakan yang diwakili oleh Naib Presiden, Haji Rusli Hassan serta dua jurulatih berpengalaman, Roslee Amat dan Hamizan Hamidin.
Pertemuan ini merupakan susulan kepada pembentangan cadangan projek pendataan bekas pemain Sabah dan penubuhan SDK Football Gallery sebuah platform khas yang bertujuan merakam sejarah, pencapaian serta legasi pemain terdahulu untuk rujukan generasi masa hadapan.
Projek ini diterajui oleh Musketeers Football Academy di bawah kepimpinan Presidennya, Hardy Pudar dengan sokongan penuh daripada PBDS sebagai rakan strategik utama.
Menurut Hardy, beberapa program susulan akan dilaksanakan bagi menghidupkan kembali semangat komuniti bola sepak tempatan. Antaranya termasuk penganjuran Majlis Silaturahim Hi-Tea, Perlawanan Amal Legenda serta Piala Komuniti yang bakal menampilkan bekas pemain sebagai ikon inspirasi kepada generasi muda.
Selain itu usaha pendokumentasian turut diperluaskan melalui penerbitan buku khas yang menghimpunkan profil bekas pemain di samping pelaksanaan program ziarah serta rakaman video biografi bagi memastikan kisah perjuangan mereka terus dikenang dan dihargai.
Inisiatif SDK Football Gallery dijangka menjadi platform penting dalam memelihara sejarah bola sepak di Sandakan sekali gus merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu dalam satu ekosistem bola sepak yang lebih tersusun, beridentiti dan berdaya saing.
Oleh : Jalie mohamad
