sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU (24 JULAI): Seorang pemandu lori minyak cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sabahan menghala ke Tawau.
Kemalangan itu melibatkan lori tangki yang membawa muatan 10,000 liter petrol.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang juga pemandu lori ditemui dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan ringan di bahu jalan sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota bomba dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.03 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 9.32 pagi, kami mendapati terdapat kebocoran dan tumpahan bahan api dari lori terbabit.
” Kami segera membuat zon keselamatan sejauh 100 kaki dari lokasi dan melakukan pancutan buih (foam) ke atas keseluruhan lori bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran atau letupan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan turut mendapati aliran minyak dari lori menghala ke arah sebuah kolam berhampiran.
Sementara itu pihak syarikat lori telah dihubungi untuk tindakan lanjut.
Operasi disertai seramai 11 anggota menggunakan jentera LFRT (BJX 5790), EMRS (BNA1714) dan FRV (VDU 2245).
Setakat ini tiada kebakaran dilaporkan dan kerja-kerja pemantauan keselamatan di kawasan kejadian masih diteruskan
TAMAT
